Meta Bright perluas teknologi penjimatan tenaga ke Singapura, Filipina menerusi perjanjian tiga tahun

KUALA LUMPUR 19 Nov - Meta Bright Group Berhad memperluaskan perniagaan kecekapan tenaga menerusi jenama Bumi.Earth ke Singapura dan Filipina selain memperluas operasi domestik ke sektor penjagaan kesihatan serta pasaran Sarawak.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata langkah itu dilaksanakan menerusi anak syarikat tidak langsung milik 51% kumpulan, Bumidotearth Sdn Bhd yang memeterai perjanjian pengedaran eksklusif selama tiga tahun dengan KCK Sustainability Solutions Private Limited yang berpangkalan di Singapura.

"Di bawah perjanjian itu, KCK akan menerajui pembangunan pasaran, pemerolehan pelanggan, pengedaran produk serta sokongan pelaksanaan tempatan bagi penyelesaian Bumi.Earth di Singapura dan Filipina.

"Antara teknologi yang ditawarkan termasuk sistem Dynamic Control Drive (DCD), penyelesaian pengoptimuman tenaga bagi sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC), aplikasi bangunan pintar serta Internet Kebendaan (IoT). la turut merangkumi Enerlytics, iaitu sistem pengurusan tenaga (EMS) berasaskan kecerdasan buatan (Al) yang dibangunkan Bumi.Earth.

"Bagaimanapun, pelantikan pengedar eksklusif itu tertakluk kepada syarat prestasi yang dipersetujui serta keperluan kawal selia tempatan manakala pendapatan akan dijana berdasarkan pesanan pelanggan yang diperoleh sepanjang tempoh perjanjian," katanya.

Tembusi sektor penjagaan kesihatan menerusi projek hospital

Dalam perkembangan berasingan, Meta Bright turut memperluas keupayaan pengurusan tenaga ke sektor penjagaan kesihatan menerusi kerjasama antara anak syarikat milik 70% kumpulan, TTOP Industrial & Engineering Sdn Bhd (TTOP) dengan Bumidotearth.

Kedua-dua syarikat akan menyediakan perkhidmatan pengurusan dan pemantauan tenaga bagi sebuah kemudahan hospital susulan tempahan pembelian yang dikeluarkan kepada TTOP.

Skop kerja merangkumi pelaksanaan sistem pengurusan tenaga berstruktur, pemantauan penggunaan elektrik secara masa nyata, analisis garis dasar penggunaan tenaga serta penyediaan laporan prestasi.

Bumidotearth pula akan membekalkan sistem pengurusan tenaga berasaskan Al, Enerlytics, selain menyediakan sokongan audit tenaga bagi projek berkenaan.

Menurut Meta Bright, operasi hospital yang berlangsung 24 jam sehari memerlukan sistem pemantauan tenaga yang mampu berfungsi tanpa menjejaskan kebolehpercayaan peralatan, kualiti udara dalaman serta ketepatan data dalam persekitaran klinikal yang ketat.

Justeru, pelaksanaan Enerlytics direka bagi menyediakan pemantauan penggunaan tenaga yang tepat serta analisis berasaskan Al untuk memenuhi keperluan operasi kemudahan berkenaan.

Projek sifar perbelanjaan modal di Sarawak

Pada masa sama, Bumidotearth memperluas operasinya ke Sarawak selepas menerima surat tawaran bersyarat daripada sebuah rangkaian peruncitan dan pasar raya tempatan bagi projek kecekapan tenaga di sebuah kompleks beli-belah di Kuching.

Projek di E-Mart Batu Kawa itu menggunakan model sifar perbelanjaan modal (zero-capex), dengan kos pelaksanaan ditanggung melalui mekanisme perkongsian penjimatan tenaga

Di bawah projek itu, Bumidotearth akan memasang sistem DCD yang dipantau menerusi sistem pengurusan tenaga berasaskan Al, Enerlytics, pada unit pengendalian udara bagi mengoptimumkan penggunaan elektrik sistem HVAC di kompleks berkenaan.

Bagaimanapun, pelaksanaannya masih tertakluk kepada pemeteraian kontrak prestasi tenaga (Energy Performance Contract), manakala potensi pelaksanaan fasa seterusnya di cawangan E-Mart lain akan dinilai secara berasingan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim berkata kemasukan ke sektor penjagaan kesihatan merupakan perkembangan penting bagi bahagian tenaga kumpulan itu kerana hospital memerlukan sistem yang mampu beroperasi tanpa gangguan terhadap aktiviti klinikal.

Beliau berkata, kerjasama TTOP dan Bumi.Earth menunjukkan keupayaan kumpulan mengendalikan kemudahan yang mempunyai keperluan operasi kritikal selain bangunan komersial. - DagangNews.com