Meta Bright memulakan operasi komersial di projek solar Sinergy Perdana

 

KUALA LUMPUR 22 Mac - Meta Bright Group Berhad telah memulakan operasi komersial untuk projek solarnya di bawah Program Zero Capex Solar PV bagi Sinergy Perdana Sdn. Bhd. semalam.

Perkara itu dimaklumkan Kumpulan itu kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dalam kenyataan media, Meta Bright berkata, projek solar 401.76kWp yang dibangunkan anak syarikat milik penuhnya, FBO Land (Setapak) Sdn. Bhd. adalah sebahagian daripada perjanjian bekalan tenaga boleh diperbaharui selama 21 tahun.

Katanya, projek itu menawarkan Sinergi Perdana diskaun 20% kepada tarif elektrik, dilengkapi dengan pelepasan kos tidak seimbang (ICPT).

Projek ini dianggarkan dapat mengurangkan kira-kira 380.81 tan pelepasan karbon dioksida (CO2) setiap tahun.

Ini sekali gus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dengan mengurangkan jejak karbon, memerangi perubahan iklim dan mempromosikan tenaga yang lebih bersih.

CEO Sinergi Perdana, Abd. Rahim Hashim (kiri) and Derek Phang Kiew Lim di kilang Sinergi Perdana.

Sinergi Perdana ialah syarikat milik Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang terlibat mengeluarkan baja dan agrokimia.

Meta Bright berkata ia kini sedang meneroka projek dalam segmen komersial dan industri (C&I) bernilai kira- kira RM34.7 juta, juga dalam ruang tenaga boleh diperbaharui.

Kumpulan itu berkata, ia telah menyelesaikan pemasangan dalam projek bernilai RM3.55 juta dan kini sedang mengusahakan projek bernilai kira-kira RM11.89 juta.

Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim berkata, penerimaan program solar oleh Sinergi Perdana adalah bukti kepercayaan yang diberikan untuk penyelesaian tenaga boleh diperbaharui yang saling menguntungkan dan mampan.

"Syarikat optimis untuk memperluaskan penyertaan dalam Program Zero Capex Solar PV dengan perusahaan Malaysia yang lain, menunjukkan keupayaam untuk menyumbang kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kukuh," tambahnya.- DagangNews.com