Meta Bright jalin kerjasama masjid dan surau di Johor menerusi program solar

KUALA LUMPUR 28 MAC - Meta Bright Group Bhd. (Meta Bright) menerusi anak syarikat FBO Land (Setapak) Sdn. Bhd. (FBO) akan bekerjasama dengan lima masjid termasuk surau di Johor untuk menjayakan program solar yang ditawarkan syarikat itu.

Lima masjid termasuk surau di Johor itu adalah Masjid Bukit Indah, Surau Al-Hidayah Bandar Putra, Surau Al-Hidayah, Surau Al-Mukhlisin dan Surau Jalan Serindit.

Meta Bright berkata, kontrak yang diterima adalah berkaitan kerja reka bentuk, pembiayaan, pemasangan, pembinaan, pentauliahan, operasi dan penyelenggaraan loji penjana fotovoltan suria di masjid dan surau berkenaan.

Menurut kumpulan itu, program itu memerlukan tempoh 21 tahun dengan pelanggan untuk membeli semua elektrik boleh diperbaharui yang dijana oleh loji di tapak, yang akan menjana pendapatan berulang untuk FBO.

“Program ini juga memerlukan diskaun sebanyak 15% kepada kadar tarif lazim Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang dilengkapi dengan imbalance cost passthrough (ICPT) untuk pelanggan,” kata Meta Bright dalam satu kenyataan.

Meta Bright berkata, jangkaan kapasiti tenaga yang akan dibekalkan berdasarkan kontrak ini berjulat dari 13 kWp hingga 42 kWp dengan kapasiti akhir akan berdasarkan kelulusan rasmi kajian teknikal oleh organisasi berkaitan iaitu TNB, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia atau Suruhanjaya Tenaga.

Selain itu, tambahnya, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menjual tenaga boleh diperbaharui yang tidak digunakan kepada grid TNB sebagai pertukaran untuk kredit menurut program NEM GoMEn.

“Di bawah program itu, tenaga yang dihasilkan daripada pemasangan PV solar di premis Kerajaan (termasuk bangunan yang digunakan untuk ibadah dan pengajaran agama) akan digunakan terlebih dahulu dan sebarang lebihan akan dieksport ke grid TNB.

“Kredit yang akan diterima sebagai pertukaran untuk tenaga yang dieksport akan digunakan untuk mengimbangi sebahagian daripada bil elektrik pengeksport pada asas offset "satu-satu",” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Derek Phang berkata, pengumuman lima kontrak itu adalah komitmen syarikat untuk menyediakan penyelesaian yang mampan bukan sahaja kepada perniagaan untung tetapi juga kepada institusi bukan untung.

Tambahnya, kontrak selama 21 tahun bermula selepas pembekalan akan memastikan pendapatan jangka panjang yang agak stabil untuk Meta Bright sekali gus membina kekuatan pengurusan dengan projek tenaga boleh diperbaharui.

“Perjanjian terbaharu ini menunjukkan Meta Bright, melalui FBO mampu mencapai kejayaan dalam merintis menjadi penyedia penyelesaian tenaga mampan yang relevan untuk Malaysia,” katanya.