Meta Bright cadang penempatan persendirian kumpul RM21 juta biayai projek tenaga, modal kerja

KUALA LUMPUR 10 Jun - Meta Bright Group Bhd bercadang melaksanakan penempatan persendirian bagi mengumpul sehingga RM21 juta bagi menyokong perniagaan berkaitan tenaga kumpulan tersebut serta membiayai keperluan modal kerja.

Penempatan persendirian itu melibatkan saham berjumlah sehingga 253 juta atau 10% daripada jumlah modal saham syarikat, akan diperuntukkan kepada pelabur bebas pihak ketiga.

Berdasarkan harga terbitan ilustratif sebanyak 12.34 sen, kumpulan ini perlu menerbitkan sebanyak 170.18 juta saham penempatan untuk mengumpul hasil kasar sehingga RM21 juta.

Daripada jumlah RM21 juta yang akan dikumpul, sebanyak RM8.75 juta akan disalurkan kepada projek tenaga semasa dan masa depan kumpulan.

Pada masa ini, kumpulan tersebut menguruskan 28 projek solar fotovoltaik (PV) yang aktif dan empat projek kecekapan tenaga di pelbagai negeri termasuk Selangor, Johor, Pahang, dan Terengganu.

Meta Bright berkata, sejumlah RM8 juta lagi akan digunakan sebagai modal kerja bagi menyokong operasi harian dan memberi fleksibiliti untuk pengembangan perniagaan selanjutnya.

Kumpulan itu juga telah memperuntukkan RM2 juta daripada hasil tersebut untuk membayar sebahagian daripada kemudahan pinjaman bertempoh.

Selain itu, kumpulan tersebut telah memperuntukkan RM2 juta untuk terus membangunkan segmen perniagaan pemberian pinjamannya, dengan tujuan untuk meluaskan capaian pasaran dan meningkatkan aliran pendapatan.

Pengarah Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim berkata, penempatan persendirian itu disusun bagi menyokong pengembangan agresif kumpulan ke dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) dan kecekapan tenaga.

Dengan menggunakan modal ini secara pantas dan berkesan, kami menjangkakan peningkatan keterlihatan pendapatan dan peningkatan keuntungan dalam tahun-tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Meta Bright berkata, segmen RE dan kecekapan tenaganya telah menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, dengan kontrak semasa dan masa depan menunjukkan potensi hasil yang tinggi.

Projek-projek tersebut merangkumi pemasangan solar untuk kilang-kilang, bangunan kerajaan, rumah ibadat, dan entiti komersial.

Penempatan persendirian itu dijangka disiapkan pada suku ketiga tahun ini.

Malacca Securities dilantik sebagai penasihat utama dan ejen penempatan tunggal bagi urus niaga itu.